Pertarungan Mas Ermieyati,Rauf jadi tumpuan, nasib tiga bekas KM tarik perhatian

GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuka secara rasmi hari ini dengan penamaan calon dan pengundian pada 20 November dengan pertarungan di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Tanjong Bidara paling mendapat tumpuan.

DUN yang dianggap kubu kuat UMNO di Parlimen Masjid Tanah itu bakal menyaksikan ‘pertarungan’ antara Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh dengan Calon  Perikatan Nasional Datuk Mas Ermieyati  Samsudin. Turut akan bertanding di situ ialah Calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Calon BN Datuk Md Rawi Mahmud memenangi kawasan itu dengan majoriti 2,864 undi menewaskan calon Pakatan Harapan dan Pas.

Bagaimanapun perebutan kerusi itu di DUN tersebut kali ini mendapat perhatian memandangkan ramai ingin melihat adakah Ab.Rauf yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya serta dianggap pemimpin UMNO paling berpengaruh di negeri akan mampu mengatasi cabaran Mas Emiriati.

Selain DUN Tanjong Bidara, tiga lagi DUN yang menyaksikan pencalonan tiga bekas Ketua Menteri Melaka turut menarik perhatian. Mereka ialah Datuk Seri Suliaman Mohd Ali, Adly Zahari dan Datuk Seri Idris Haron.

Ketiga-tiga calon mewakli parti berbeza dan bertanding di kawasan berlainan.

Sulaiman yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka jika Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN tersebut berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru apabila dicabar oleh Calon Perikatan Nasional Mejar Abdullah Mahadi dan Calon Pakatan Harapan (PH), Asri Ibrahim.

Pada PRU-14, Sulaiman memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis undi mengalah calon daripada PH dan PKR.

Di Bukit Katil yang terletak dalam Parlimen Hang Tuah Jaya, Adly yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,159 pada PRU-14 akan berhadapan tiga lagi calon iaitu Muhammad Al Afiz Yahya (Perikatan Nasional), Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin dan Calon Bebas Abdul Hamid.

Di Asahan pula, Idris yang kini mewakili PH akan mencuba nasib di DUN tersebut.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu  yang sebelum ini adalah ADUN Sungai Udang ketika bersama UMNO akan ditentang oleh lima calon daripada BN, PH, Perikatan Harapan dan dua calon Bebas.

DUN Asahan dianggap salah satu kerusi yang menjadi rebutan semua parti memandangkan pada PRU-14 lalu, ia dimenangi BN dengan majoriti tipis 275 undi melalui calonnya, Datuk Ghafar Atan.

Perebutan kerusi DUN Telok Mas dan Bemban juga turut menjadi tumpuan apabila Pengerusi Perikatan Nasional Melaka,Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pari Bersatu itu dengan dicabar oleh tiga calon dari BN,PH dan Bebas.

Di Bemban, Calon Perikatan Nasional, Dr.Mohd Yadzil Abd. Rahman yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya dilihat berpeluang merampas kerusi yang dimenangi DAP dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau akan berhadapan dengan Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew (PH), Datuk Koh Chin Han (BN) dan dua calon Bebas iaitu Azmin Kamis dan Ng Choo Koon.

Dalam PRU-14 lalu, kerusi tersebut dimenangi DAP dengan majoriti 1,345 melalui calonnya Dr.Wong Fort Pin yang kali ini digugurkan oleh parti tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 112 calon bertanding dalam PRN Melaka kali ini. Jumlah itu meningkat daripada 85 calon yang bertanding di peringkat DUN pada PRU-14.

Tiga gabungan utama iaitu BN, PH dan Perikatan Nasional bertanding di semua 28 kerusi. Parti Putra pimpinan Datuk Ibrahim Ali bertanding di lima kerusi manakala Parti Perikatan India Muslim mencuba nasib di satu kerusi. Selain itu 22 calon Bebas turut bertanding.

Pengerusi SPR, Datuk Ghani Salleh berkata, semua DUN menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan tiga calon.

Sebanyak 11 kerusi akan ditandingi tiga calon, empat calon (9 kerusi), lima calon (lima calon) dan enam calon (tiga kerusi).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *