berarak ab rauf yusoh prn melaka sop

Masih ada yang degil langgar larangan berkumpul, berarak

ARAHAN yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung larangan aktiviti berkumpul dan berarak oleh penyokong parti politik di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti mencurah air di daun keladi.

Masih ada penyokong yang dikesan melanggar arahan tersebut pada hari penamaan calon hari ini.

Di luar pekarangan pusat penamaan calon Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas, sekumpulan individu memakai kemeja-T berwarna merah dilihat berarak mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

berarak PH Telok Mas PRN Melaka
Ashraf Mukhlis Minghat diiringi penyokong-penyokongnya di luar pekarangan pusat penamaan calon DUN Telok Mas. – Gambar: Melaka Hari Ini

Memetik laporan BH, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Rais Mukhlis Azman Aziz berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

“Kita dapati terdapat kehadiran kira-kira 25 penyokong daripada PH mengiringi calon ke pusat penamaan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

“Berikutan itu, Pasukan Cantas Khas bertindak menyuraikan kumpulan itu sebelum semua beredar dan berada di luar kawasan PPC,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mengenal pasti individu yang terbabit sebelum siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, kira-kira 50 penyokong dikesan berarak mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara.

Seperti yang dilaporkan Malay Mail, mereka hanya bersurai setelah diarahkan polis berbuat demikian.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Beliau dengan jelas menyatakan, penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

Malangnya, peringatan yang dikeluarkan oleh SPR itu seperti tidak diendahkan oleh para penyokong calon-calon berkenaan.

Maka, sewajarnya tindakan tegas diambil terhadap mereka agar insiden yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 itu tidak berulang.

Kita tidak mahu mereka menunjukkan sikap keras kepala tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Jika tindakan tegas tidak diambil, kita bimbang mereka akan mengulangi perangai yang sama pada hari pengundian 20 November ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *