mas ermieyati

Mas Ermieyati yakin mampu tumbangkan Ab Rauf

NAIB Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan sama ada beliau akan diberikan mandat sebagai wakli rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov nanti.

Menyedari bertanding di kubu kuat UMNO, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, semua calon mempunyai peluang yang sama untuk menang pada PRN kali ini.

“Walaupun semua mengatakan Tanjung Bidara kubu kuat Barisan Nasional (BN), saya fikir dalam mana-mana pertandingan semua orang ada peluang.

“Dan kita harus menggunakan masa dan kebijaksanaan, dan yang paling penting ia terpulang kepada pengundi sendiri untuk menilai ‘track record’ saya sebagai Ahli Parlimen (Masjid Tanah),” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan DUN Tanjung Bidara di Alor Gajah hari ini.

Pada PRN kali ini, Mas Ermieyati akan berdepan saingan tiga penjuru dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dari Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Pengelola PKR Cabang Masjid Tanah Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).

Mas Ermieyati berkata platform media sosial akan memainkan peranan penting pada PRN kali ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau kita tengok ada 10,130 pengundi (di DUN Tanjung Bidara). Pastinya dari segi peratusan anak muda akan fokus kepada media sosial. Hari ini kita juga tidak boleh menidakkan golongan berusia yang juga ada (akaun) media sosial.

“Orang muda dan orang berusia sedikit pastinya mereka akan lihat Facebook dan aplikasi media sosial yang lain,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *