
KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum pun dimulakan secara rasmi namun kem Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO sudah kacau-bilau.
Khabarnya, sebanyak sembilan pusat daerah mengundi (PDM) BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban ditutup semalam.
Tindakan mengejutkan itu dibuat dalam masa kurang 24 jam selepas calon-calon BN pada PRN Melaka diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sembilan PDM terbabit adalah Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.
Tidak diketuai punca sebenar insiden yang boleh menjejaskan persiapan BN pada PRN Melaka itu berlaku.
Ada pihak mendakwa ia disebabkan oleh protes jentera UMNO terhadap keputusan meletakkan calon dari MCA iaitu Koh Chin Han yang ditewaskan oleh calon DAP, Dr Wong Fort Pin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sekiranya dakwaan itu benar, timbul persoalan sama ada UMNO telah mengetepikan semangat setiakawan dan kerjasama dalam BN sehingga sanggup bertindak sedemikian?
Sebelum ini, UMNO tidak mempedulikan semangat Muafakat Nasional (MN) yang dijalinkan dengan PAS apabila memutuskan untuk bertanding di semua kerusi.
Akibatnya, PAS tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bertanding menentang UMNO di beberapa kerusi majoriti pengundi Melayu.
Sikap ego dan angkuh UMNO yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetuskan pertembungan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Tidak pasti mengapa jentera UMNO menolak calon MCA namun perkara itu akan memberi kelebihan kepda calon PN, Dr Mohd Fadzil Yaakub bagi menewaskan calon PH yang juga Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Terdapat kemungkinan gejala tutup PDM seperti yang berlaku di DUN Bemban akan menular ke kawasan-kawasan lain yang ditandingi BN memandangkan terdapat beberapa calon yang tidak berapa digemari akar umbi UMNO di Melaka.
Leave a Reply