Orang Asli

Rayu bina 40 rumah baharu keluarga Orang Asli

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KIRA-KIRA 40 keluarga dari Kampung Orang Asli Teluk Jawa di Pasir Gudang merayu kerajaan membaiki atau membina rumah baharu untuk kerana keadaan kediaman sedia ada yang sudah rosak dan usang.

Seorang penduduk, Awie Mee, 39, berkata, rumah mereka perlukan kediaman baharu bagi memastikan dapat tinggal dengan selesa dan selamat.

Awie Mee

Dia mendakwa, permohonan untuk membaiki rumah mereka sudah dimohon kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sejak lebih 10 tahun lalu tetapi tiada jawapan sehingga kini.

“Namun ada pihak yang bermurah hati memberi sumbangan zink untuk menggantikan atap rumah kami yang sudah bocor. Rumah kami sudah usang dan jika kerajaan tidak mampu bantu, dapat memberikan peruntukan tiang konkrit pun sudah memadai,” katanya.

Awie berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menyampaikan pakaian terpakai kepada penduduk kampung tersebut, hari ini.

Bapa kepada empat anak dan merupakan seorang nelayan itu berkata, semua rumah di kampung itu menggunakan tiang daripada kayu bakau untuk struktur utama rumah dan perlu digantikan pada setiap tahun.

Menurut Aiman Majid, 35, ketika ini banyak kawasan hutan bakau sudah dimajukan dan penduduk mempunyai kesukaran untuk mendapatkan kayu berkenaan bagi menggantikan tiang lama di rumah mereka.

Aiman Majid

“Kita memerlukan kira-kira 40 batang tiang daripada kayu bakau pada setiap tahun untuk menggantikan tiang sedia ada. Kalau kerajaan dapat memberi bantuan tiang konkrit, ini akan bertahan lebih lama dan tidak perlu menukar tiang kayu bakau setiap tahun,” katanya.

Noraisyah Abdullah, 32, yang juga seorang nelayan mahukan kerajaan membaiki titi kayu yang menjadi penghubung antara rumah ke rumah di kampung tersebut kerana struktur sedia ada sudah rosak dan berlubang.

Noraisyah Abdullah

“Saya dan suami terpaksa mengutip kayu dan papan yang dibuang untuk digantikan pada laluan titi yang sudah rosak. Selain itu diharap kerajaan dapat menyediakan tempat pembuangan sampah atau tong sampah. Ketika ini penduduk membuang sampah ke dalam laut,” katanya.

Yati Mee, 40, berkata, dia dan suami yang menjadi nelayan dengan pendapatan tidak seberapa mengharapkan bantuan kerajaan membangunkan kampung itu yang didakwa sudah diduduki datuk mereka sejak lebih 100 tahun lalu.

Yati Mee

Dia mendakwa, rata-rata penduduk adalah nelayan selain menternak kupang dan mereka yang kini merupakan generasi ketiga dan keempat tidak mampu membina rumah baharu atas faktor kewangan.

Sementara itu, Hassan berkata, kira-kira RM2 juta diperlukan untuk membina kediaman baharu di kampung itu kerana kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan bahagian atap dan dinding papan lapisnya sudah berlobang serta reput.

Ketiadaan tong sampah dan tempat membuang sampah khusus mengakibatkan penduduk membuang sampah ke laut di Kampung Orang Asli Teluk Jawa

“Semua rumah yang ada ini didirikan atas air dan diperbuat daripada kayu sepenuhnya. Perkampungan Orang Asli ini dibenarkan duduk atas tanah rizab kerajaan sejak sebelum merdeka lagi. Kita khuatir ribut akan meroboh dan merosakkan rumah mereka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *