AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin akan berhadapan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan antara 28 calon yang akan mewakili Perikatan Nasional bertanding di pilihan raya berkenaan. Pengumuman calon Perikatan Nasional oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menarik perhatian apabila Pas diberikan lapan kerusi manakala Gerakan pula lima kerusi.
Lapan kerusi yang akan ditandingi oleh Pas ialah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau. DUN Duyong akan diwakili oleh Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik.
Parti Gerakan pula akan mencuba nasib di DUN Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Machap dan Bandar Hilir.
Bersatu pula akan bertanding di 15 kerusi dengan menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen bertukar kawasan dari DUN Paya Rumput ke Telok Mas.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad yang mewakili Bersatu ketika parti itu bersama Pakatan Harapan.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Dr.Mohd Yazril Yaakub pula akan bertanding di DUN Bemban yang dimenangi oleh DAP pada PRU-14 dengan majoriti 1,345 undi.
Muhyiddin dalam ucapannya berkata, dari segi latar belakang calon, 43 peratus adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
‘’Dari segi komitmen untuk berkhidmat sepenuhnya demi kepentingan kebajikan rakyat 100 peratus.
‘’Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat tetapi kita mempunyai komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat, kita mesti melakukan yang terbaik. We will deliver to the best of our ability and we will ensure that no one will left behind,’’ katanya.
Beliau berkata, rekod Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi negeri Melaka.
‘’Kita prihatin kepada nasib rakyat dan melaksanakan apa juga perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.
‘’Saya tidak berniat mendabik dada tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.
‘’ Inilah buku rekod kita yang akan kita bentangkan kepada rakyat negeri Melaka sebagai panduan untuk mereka membuat pilihan yang terbaik,’’ katanya.
Leave a Reply