
“Muka kuala sungai di Terengganu ni jangan main-main, kalau musim berombak (tengkujuh) jangan bergurau nak ke laut, sudahnya bukan sahaja bot pecah, nyawa pulok melayang.
Kebanyakan muka kuala di Terengganu ni ada penunggu dan berpuaka, masa keluar ke laut nampak air tenang, tetapi tiba-tiba bertukar menjadi gelora”.
Begitulah kata-kata seorang juragan pukat jerut yang masih lagi terngiang di telinga penulis setiap kali tiba musim tengkujuh.
Walaupun kata-kata itu diungkapkan ketika penulis masih lagi di alam persekolahan, namun ia tetap dalam ingatan.
Ketika itu penulis bersama beberapa rakan dan penduduk kampung sedang berkumpul di hujung kuala dengan perasaan cemas dan berdebar menyaksikan bot-bot nelayan yang pulang menangkap ikan ingin memasuki kuala.
Peristiwa itu berlaku pada musim tengkujuh dengan keadaan ombak besar beserta angin kencang dan laut bergelora.
Lepas satu, satu bot berjaya melintasi ‘ombak tujuh beradik’, namun ada sebuah bot terkandas di beting kuala sebelum dipukul ombak lalu tenggelam.
Begitulah setiap tahun senario seperti ini berlaku di hadapan mata penulis sendiri suatu ketika dahulu.
Sebab itulah apabila tiba sahaja musim tengkujuh pada bulan November, nelayan akan mula ‘tutup kuala’ dan ‘buka kuala’ pula pada bulan Februari menyebabkan suasana di dalam kebanyakan kuala sungai di Terengganu akan penuh sesak dengan bot-bot nelayan.
Hal ini disebabkan kebanyakan nelayan di negeri ini tidak berani melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan laut bergelora dan ombak besar yang turut disertai angin kencang serta hujan lebat.
Kalau ada pun bot nelayan yang berbuat demikian hanya melibatkan bot pukat harimau, pukat tunda dan bubu, itupun bergantung kepada keberanian dan kepakaran seseorang nelayan terbabit dalam membaca ‘firasat’ cuaca dan laut.
Malah, sepanjang musim tengkujuh atau lebih popular dipanggil sebagai ‘musim berombak’, rata-rata nelayan terpaksa menempatkan bot-bot mereka seperti bedar dan sekuci dengan melabuhkan sauh di dalam kuala.
Ada juga yang mengikat tali bot di jeti dan bangsal milik masing- masing.
Selain itu, di kawasan tebing pasir pula kelihatan bot-bot didaratkan bagi tujuan membaiki bahagian yang bocor serta mengecat semula dengan warna baharu.
Bagi nelayan pukat jerut, pukat dalam dan pukat tangkul, pada musim inilah mereka akan melakukan aktiviti menjemur dan menjahit pukat.
Senario ini penulis saksikan sendiri kerana rumah penulis ketika itu terletak di tepi pantai menghadap laut Cina Selatan.
Sejak dilahirkan penulis sudah terdidik dengan ancaman ombak besar dan angin kencang yang menyebabkan atap rumah berterbangan jatuh ke tanah.
Bagi nelayan pantai, mereka takut keluar ke laut pada musim tengkujuh kerana mengaitkan kebanyakan muara sungai di Terengganu terutama di Marang ada penunggu dan berpuaka.
Beberapa nelayan pernah bercerita mengenai peristiwa bot tenggelam yang turut meragut nyawa rakan-rakan mereka pada setiap tahun sewaktu sedang memasuki muara ketika tutup kuala dan ada juga ketika musim buka kuala.
Namun, itu cerita dahulu, cerita sebelum wujudnya pembinaan benteng pemecah ombak di muka kuala.
Kini, peristiwa bot tenggelam sudah jarang kedengaran dan yang pasti cerita dulu-dulu hanya tinggal kenangan.
Leave a Reply