”Saya maafkan tertuduh buat anak saya” – Bapa Zulfarhan

SEBERAT mana sekalipun beban penderitaan dan kesedihan yang ditanggung, namun, sebagai manusia waras dan berjiwa besar, Zulkarnain Idros memilih menghulur salam perdamaian buat mereka yang telah menyebabkan kematian anaknya, Zulfarhan Osman.

Jauh di sudut hatinya, Zulkarnain, 57, sudah memaafkan kesemua tertuduh yang juga rakan sepengajian anaknya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Secara jujurnya, saya maafkan tertuduh yang buat anak saya. Bila saya maafkan, mungkin ada kelegaan di hati,” itu suara hati Zulkarnain yang dikongsi dengan wartawan dalam sidang media di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Pada awalnya, Zulkarnain mengakui berat untuk menjawab soalan tersebut namun selepas empat tahun, akhirnya kemaafan ‘menjentik’ hatinya.

Begitupun, dia tetap melahirkan rasa terkilan kerana dakwanya, hanya satu keluarga tertuduh datang bertemunya dan memohon maaf.

“Keluarga tertuduh, mereka tidak datang jumpa saya, tak minta maaf dengan saya kecuali satu keluarga yang datang jumpa saya minta maaf. Seolah-olah anak saya pula yang bersalah. Janganlah begitu, janganlah memutuskan silaturrahim,” katanya lapor Astro Awani.

Dalam masa sama, Zulkarnain juga menitipkan pesanan kepada orang awam supaya tidak menjadi pembuli.

“Saya pesan kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli. Contohnya seperti saya, kalau buli membahayakan masyarakat menghilangkan nyawa, kesannya kepada kedua ibu bapa… saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga,” luahnya.

Allahyarham Zulfarhan Osman yang menuntut di UPNM maut dalam insiden menyayat hati empat tahun lepas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Allahyarham Zulfarhan Osman yang juga Pegawai Kadet Laut UPNM.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan bersalah.

Enam tertuduh tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Menurut Azman, hukuman tersebut berjalan bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Sementara itu, enam penuntut tersebut dan 12 lagi tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana didapati bersalah mencederakan Allahyarham.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *