Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEPUTUSAN kerajaan menyambung kontrak saintis yang membangunkan vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) adalah tepat bagi memastikan proses penghasilan vaksin sendiri berjalan lancar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Sri Dr. Adham Baba berkata, proses penghasilan vaksin yang pertama untuk Malaysia itu ketika ini sudah berada pada fasa penyahaktifan virus Covid-19.
“Jadi kita kita alu-alukan pengumuman Perdana Menteri semalam untuk sambung kontrak saintis bagi tempoh lima tahun akan datang. Saya harap saintis terlibat dapat terus bangunkan vaksin hingga berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MBOT Technology & Innovation Expo (MTeX’21) di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, hari ini.
Malaysia sedang membangunkan vaksin sendiri yang pertama bagi melawan pandemik Covid-19, melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Kementerian Kesihatan, vaksin jenis mRNA terbabit dibangunkan mulai November tahun lalu dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.
Sementara itu, Dr. Adham berkata, Expo Teknologi dan Inovasi (MTeX’21) Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) akan menjadi platform bagi negara mencapai 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Dr. Adham berkata, program berkonsepkan pertandingan itu mampu menyuntik semangat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi menghasilkan produk berteraskan teknologi dan inovasi.
“Dalam Pemangkin Dasar 1 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu Membangunkan Berat Masa Hadapan, tumpuan diberikan kepada penjajaran semula pasaran buruh, pendidikan dan latihan.
“Ketika ini peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia ialah pada kadar 28.6 peratus sahaja dan kerajaan menyedari bahawa pembangunan bakat adalah asas yang amat penting kepada dasar jangka panjang negara ini,” katanya.
Menurut beliau, MOSTI komited bagi memastikan budaya inovasi yang berimpak tinggi dan berkualiti untuk dikomersialkan bagi memenuhi kehendak pengguna sekali gus mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
“MOSTI akan membantu dengan membangunkan ekosistem, kapasiti, lembaga kawal selia serta geran yang bersesuaian untuk membantu anak muda dalam bidang teknologi dan teknikal,” katanya.
Leave a Reply