
TIDAK ada parti politik mahu pun individu yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, walaupun negara berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun prosedur operasi standard (SOP) yang jelas telah diumum kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Jadi kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan, orang biasa kena kompaun dan orang kayangan tidak kena, undang-undang sama sahaja, jadi saya harap semua rakyat patuh kepada SOP,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di Bangi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa parti politik telah dikompaun baru-baru ini kerana melanggar SOP, antaranya Barisan Nasional yang melancarkan jentera Pilihan Raya Melaka dan PKR Melaka yang mengadakan acara berkaitan pilihan raya, masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.
Ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menyambung secara automatik khidmat pakar penyelidik berkaitan vaksin di universiti yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada usia 60 tahun selama lima tahun secara kontrak.
Beliau berkata, keputusan berkuat kuasa serta merta itu bagi memastikan pakar-pakar berkaitan yang masih menjalankan penyelidikan berkaitan vaksin terutamanya melibatkan subjek yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa dapat meneruskan dan menghabiskan penyelidikan mereka.
“Jadi tidak ada lagi soal tidak terjamin dari segi tugas yang sedang mereka laksanakan, jadi mereka boleh teruskan (khidmat) selama lima tahun dan selepas itu kita akan tengok keperluan sama ada boleh tambah lagi atau tidak.
“Syaratnya ialah kajian dan pembangunan (R&D) yang mereka lakukan tersebut boleh dikomersialkan, dan dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Malaysia memiliki ramai pakar terbaik yang turut mendapat pengikitrafan antarabangsa dan disebabkan itu, negara tidak mahu kehilangan bakat ini yang mungkin akan diambil oleh negara lain disebabkan faktor tamat perkhidmatan.
“Kalau tidak disambung (perkhidmatan) akan jejaskan kajian mereka dan kalau (kajian) disambung pakar baru mungkin akan makan masanya,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah pakar yang dijangka terlibat dengan keputusan kerajaan itu, beliau berkata, data berkaitan akan diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Berhubung pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser yang sedang dijalankan, Ismail Sabri berkata, Malaysia adalah negara pertama yang sedang melaksanakan penghasilan vaksin tersebut.
“Jadi kita mampu tawarkan vaksin sendiri sebab itulah kerajaan naik taraf Institut Genom Malaysia ini kepada Insitut Genom dan Vaksin Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin. – BERNAMA
Leave a Reply