Mufti Pulau Pinang minta cukai eksais vape, cecair nikotin disemak semula

KERAJAAN Pusat diminta menyemak semula cadangan mengenakan cukai eksais terhadap rokok elektronik dan cecair bernikotin seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tunku Zafrul Tunku Abdul Aziz menerusi pembentangan Bajet 2022 di Parlimen Jumaat lalu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, perkara itu bagi mengelak akibat negatif terutama generasi muda yang menjadi aset negara pada masa depan.

Jelas beliau, Cadangan mengenakan cukai itu boleh dianggap Kerajaan Pusat membenarkan bahan tersebut diedarkan di pasar terbuka bagi kegunaan orang ramai.

Katanya, ia mencerminkan sikap kerajaan yang tidak serius untuk membasmi amalan merokok seperti yang dicanangkan melalui iklan-iklan yang disiarkan di dalam pelbagai media cetak dan elektronik selama ini.

“Sebagai seorang mufti, saya ingin mengingatkan kembali kepada keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada 21 Desember 2015 yang menegaskan tentang hukum penggunaan vape sebagai haram.

“Keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan isu tersebut dari pelbagai sudut terutama sudut kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Salim, para mufti di seluruh negara bersetuju dengan status haram rokok elektronik setelah disahkan oleh para pakar perubatan dan kesihatan termasuk datipada Pertubuhan Kesihatan Sedumia (WHO) yang mana rokok itu membahayakan kesihatan penggunanya.

Jelas beliau, ia kerana rokok itu mengandungi pelbagai jenis racun yang boleh memudaratkan kesihatan.

“Di samping itu, merokok secara umumnya merupakan pembaziran, lebih-lebih lagi dalam keadaan ramai rakyat yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid 19 yang melanda dunia pada masa kini,” tambahnya.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya melihat kepada isu rokok elektronik itu secara menyeluruh dan untuk jangka masa yang panjang.

Ujarnya, mungkin dalam jangka masa pendek mengenakan cukai eksais terhadap bahan ini dapat menjana keuntungan kepada negara.

“Tetapi kesihatan rakyat yang terjejas akibat ketagihan rokok dibimbangi akan merugikan negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *