motosikal

Pejalan kaki, penunggang motosikal maut nahas jalan raya

SEORANG pejalan kaki dan penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta, motosikal dan pejalan kaki di Solaria Residences, Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, pejalan kaki, Suhaila Zainol Abidin, 45, dan penunggang motosikal, Faizal Abu Bakar, 33, dilaporkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.26 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

motosikal maut
Para petugas Kementerian Kesihatan memberi pertolongan cemas kepada salah seorang mangsa.

Sebaik sahaja tiba di lokasi jelasnya, pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave serta dua pejalan kaki.

Tambahnya, pihaknya turut mendapati dua lagi mangsa iaitu pemandu kereta lelaki berusia 25 tahun dan pejalan kaki wanita yang tiada maklumat umur cedera parah.

“Pemandu kereta yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam dan seorang pejalan kaki telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada pemberita hari ini.

Jurucakap itu menambah, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Anggota-anggota bomba melakukan operasi menyelamat dan membersihkan lokasi kejadian.

“Operasi menyelamat dan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian telah selesai sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.38 pagi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *