JASA dan bakti Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing kepada negara dan Sarawak khususnya, adalah tidak terhitung nilainya dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James adalah seorang tokoh politik yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menjunjung integriti, bekerja keras bagi kemajuan serta kemakmuran negara dan negeri Sarawak.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, PN amat menghargai sumbangan beliau sebagai seorang negarawan berjiwa besar yang banyak membantu mengukuhkan dan mengeratkan lagi semangat perpaduan negara.
“Saya yang secara peribadinya telah kehilangan seorang sahabat baik, berharap seluruh ahli keluarga mendiang agar dapat tabahkan hati menghadapi saat yang menyedihkan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Muhyiddin turut menyatakan beliau amat sedih dan hiba menerima berita pemergian James yang meninggal dunia pada pukul 7.05 pagi tadi di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC), Kuching.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Beliau menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar kepada Sarawak dan negara.
“Mendiang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berwibawa. Jasa dan pengorbanan mendiang pasti akan dikenang sampai bila-bila.
“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi saat duka ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
James meninggalkan seorang isteri Puan Sri Fiona Masing dan dua orang anak.
Sebelum ini, mendiang telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.
Beliau menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Jan 2017.
Leave a Reply