UMNO PRN Melaka

Apakah UMNO sengaja mahu kalah PRN Melaka?

prn melaka

SEJAK dari mula hingga sekarang, segala tindak-tanduk dan keputusan UMNO berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membingungkan semua pihak, termasuk ahli parti sendiri.

Sudah banyak kali diingatkan bahawa pertembungan tiga penjuru atau lebih di mana-mana kerusi majoriti pengundi Melayu hanya akan merugikan UMNO sendiri.

Seperti yang sering diulang oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang.

Dalam konteks PRN Melaka, pertembungan antara calon UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan besar kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili sama ada oleh PKR, PAN atau DAP.

Sifir politik ini amat mudah difahami oleh sesiapa sahaja malah telah pun dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga menyaksikan rejim PH bermaharajalela di Melaka selama hampir dua tahun.

Malangnya, ada segelintir pihak dalam UMNO seolah-olah sengaja tidak mempedulikan hakikat ini sehingga menyebabkan parti itu bersikap angkuh dan terlalu yakin mereka boleh memenangi PRN Melaka secara solo.

Persoalannya, adakah mereka mempunyai motif tertentu bagi memastikan UMNO berdepan laluan sukar pada PRN Melaka dan mengambil tindakan yang boleh menyebabkan parti tersebut tumbang?

Adakah ia mempunyai kaitan dengan persaingan merebut jawatan Presiden UMNO yang dijangka lebih sengit berbanding sebelum ini?

Ramai yang sedia maklum terdapat beberapa tokoh yang dilihat berpotensi untuk dicalonkan sebagai Presiden UMNO bagi menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan parti akan datang.

Antaranya ialah Mohamad sendiri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mana kedua-dua mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan akar umbi parti.

Kekalahan BN dan UMNO pada PRN Melaka pasti memberi kesan negatif terhadap reputasi kedua-dua pemimpin berkenaan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat dan ahli-ahli parti.

Tok Mat telah membuktikan kewibawaannya mengemudikan jentera BN sehingga beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan DUN Semenyih.

Begitu juga dengan Pak Long Mail yang berjaya merintis sejarah dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PH bagi memastikan kestabilan politik semasa negara dalam proses pemulihan akibat krisis pandemik.

Sekiranya BN dan UMNO gagal pada PRN Melaka, kemungkinan besar Mohamad yang mengetuai jentera parti dan Ismail Sabri yang mengemudi jentera pentadbiran negara akan dipertanggungjawabkan atas kekalahan itu.

Kesan buruknya tidak terhenti setakat di situ kerana ia akan dijadikan modal kempen semasa pemilihan parti nanti sekiranya Mohamad dan Ismail Sabri memutuskan untuk bertanding merebut jawatan nombor satu UMNO.

Namun, kita berharap andaian ini hanyalah sekadar cakap-cakap kedai kopi sahaja dan pucuk pimpinan UMNO dapat mengetepikan agenda peribadi masing-masing demi memastikan rakyat Melaka khususnya orang Melayu dan Islam tidak lagi hidup menderita di bawah cengkaman rejim PH.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *