SEORANG wanita berusia 47 tahun cedera di bahagian kaki semasa mendaki Gunung Kinabalu di Ranau pada pukul 9 pagi semalam.
Wanita berkenaan dilaporkan terjatuh sehingga menyebabkan kaki kiri bengkak dan mangsa sukar untuk bergerak.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima laporan itu sebelum enam anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian dan tiba pukul 10.10 pagi.
Menurut jurucakap PGo berkenaan, semasa kejadian angin kencang dan cuaca sejuk namun tidak menghalang Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) untuk menyelamatkan wanita itu menuruni Gunung Kinabalu.
“Mangsa dibawa turun dari Sayat-Sayat Hut ke Timpohon Gate. Mangsa diusung menggunakan peralatan pengusung oleh PBB MOSAR dan malim gunung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa selamat tiba di Timpohon Gate kira-kira pukul 7 malam.
Mangsa katanya, diserahkan kepada Unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Ranau.
Leave a Reply