Wanita bebas

Wanita bunuh ibu dibebaskan dari penjara Bali

SEORANG wanita warga Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan kesalahan bersama-sama teman lelaki atas kes pembunuhan ibunya sebelum mayat mangsa disumbat dalam sebuah beg pakaian di sebuah hotel mewah Bali, Indonesia pada 2014, dibebaskan dari penjara, hari ini.

Heather Mack dihukum penjara 10 tahun pada 2015 ketika berusia 19 tahun manakala kekasihnya, Tommy Schaefer pula dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh Sheila von Wiese Mack yang ketika itu berusia 62 tahun.

Schaefer yang juga seorang sosialis Chicago dipukul sehingga mati dengan menggunakan sebuah mangkuk buah dalam pertengkaran di hotel lima bintang tersebut.

Pasangan itu didakwa kemudian meninggalkan beg baju berisi mayat mangsa dalam sebuah teksi dan melarikan diri tetapi berjaya ditangkap polis.

Susulan itu, Mack yang sedang mengandung ketika kejadian, disabitkan kesalahan bersubahat dalam pembunuhan berkenaan.

Ketua Bahagian Wanita Penjara Kerobokan di Bali, Lili memaklumkan bahawa Mack yang kini berusia 25 tahun, dibebaskan lebih awal dari penjara itu kerana berkelakuan baik.

“Ketika dibebaskan, dia kelihatan agak terkejut dan beremosi. Dia juga dilihat teragak-agak serta takut, namun kami memberi semangat kepadanya,” katanya.

Wanita itu seterusnya diserahkan kepada pegawai imigresen untuk menunggu dihantar pulang ke AS.

Bagaimanapun, pegawai imigresen Bali enggan mengulas mengenai kes Mack atau bila wanita itu akan diterbangkan balik ke tanah airnya.

Setakat ini, masih belum diketahui sama ada anak perempuan Mack yang kini berusia enam tahun dan dibesarkan di sebuah rumah kebajikan di Bali, akan turut dihantar pulang pada masa sama.

Terdahulu, peguam Mack memberitahu AFP bahawa wanita itu tidak mahu anak perempuannya ‘dihantar pulang dan diburu oleh media (AS).’

Pegawai penjara pula memaklumkan bahawa sejak pandemik Covid-19, Mack yang kini fasih berbahasa Indonesia dan Bali, hanya berhubung melalui video dengan anak perempuannya.

Pada perbicaraan sebelum ini, Schaefer yang kini masih berada di penjara, mengaku membunuh mangsa tetapi mendakwa dia mempertahankan diri ketika bertengkar dengan von Wiese Mack yang marah kerana anak perempuannya hamil. – AFP


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *