SEBANYAK 35 laporan diterima polis Klang melibatkan pemerasan video bogel dari awal tahun ini hingga kini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memberitahu, daripada jumlah itu 18 tangkapan sudah dilakukan.
“Kesemua laporan kini disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
“Modus operandi kes ini ialah menerusi perkenalan di laman sesawang dengan individu wanita dan suspek kemudiannya akan meminta mangsa menghubunginya menerusi video dalam talian.
“Mangsa kemudiannya akan diminta melakukan perbuatan lucah yang akan dirakam oleh suspek. Mangsa tanpa disedari akan diugut untuk mendapatkan wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terkini katanya, seorang lelaki membuat laporan polis apabila diugut video serta gambar bogelnya akan disebarkan selepas mengenali seorang wanita di laman sosial.
Tambah beliau, mangsa sebelum ini berkenalan dengan wanita menerusi satu aplikasi pada Jumaat lalu.
Menurutnya, mangsa itu bagaimanapun dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali pada hari sama dan mengugut memberikan sejumlah wang untuk memadam video dan gambar bogel itu.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan taktik sebegini yang mana akan memberikan kesan kepada mangsa itu sendiri,” katanya.
Leave a Reply