Masyarakat jangan terpedaya berita palsu-Sultan Ibrahim

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan di dalam media sosial.

Sultan Johor demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam gambar tersebut.

“Ia merupakan satu kenyataan palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di dalam laman media sosial.

“Segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor) dalam laman sosial rasmi,” jelas kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial sebuah gambar menunjukkan satu posting Facebook dengan penama akaun ‘Abdul Talib’ menunjukkan seolah-olah Sultan Ibrahim mengeluarkan kenyataan berbunyi:

“Kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah,” tulis kenyataan itu berserta gambar Sultan Ibrahim di sebelahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *