Tolak rayuan

Hukuman penjara, denda model pandu lawan arus kekal

SEORANG model sambilan di Pulau Pinang, Ng Pei Ven, 23, di penjara selama lima tahun, denda RM18,000 dan hilang kelayakan lesen memandu dari tarikh sabitan selepas Mahkamah Tinggi Butterworth menolak rayuannya yang sebelum ini didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang juruteknik pada Mac 2017.

Hakim Datuk Amirudin Abd. Rahman mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jun tahun lalu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap inti pati pertuduhan yang mana dia memandu kereta Proton Gen 2 nombor pendaftaran PFX 5685 dan secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli.

Malah, mahkamah turut mendapati keputusan hukuman sebelum ini adalah mengikut undang-undang dan tidak melampau terhadap Pei Ven.

Pada penghakiman hari ini juga, Amirudin berkata, kesalahan yang dilakukan perayu adalah sangat serius dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mahkamah turut memikirkan kepentingan awam dan hukuman yang dikenakan adalah berbentuk literal iaitu dapat mencegah tertuduh dan orang awam lain, selain memberi pengajaran terhadapnya.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainy Suhailah Yunus, manakala tertuduh diwakili peguam Cheah Eng Soon.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut dan dihantar ke Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal hari ini bagi menjalani hukuman.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jaminan daripada RM7,000 kepada RM12,000.

Terdahulu, pada 24 Mac 2017, gadis itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi di Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara kira-kira pukul 7.50 pagi, 14 Mac 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Dalam kejadian itu, mangsa maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu Pei Ven secara melawan arus di Kilometer 134, dekat Permatang Pauh.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *