BILA hati sudah tidak bersih, inisiatif Perikatan Nasional (PN) menganjurkan program jualan barangan keperluan harian pada harga yang murah kepada rakyat pun dianggap sebagai kesalahan.
Bersih yang dikenali sebagai pertubuhan yang berat sebelah memihak Pakatan Harapan (PH) tidak berpuas hati dengan usaha baik PN menganjurkan aktiviti Gerai Prihatin Rakyat termasuk di Melaka.
Mereka telah membangkitkan isu tersebut kepada Suruhan Pilihan Raya (SPR) atas alasan ia melanggar peraturan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Nampak sangat Bersih tidak buat kerja rumah terlebih dahulu sebelum menyuarakan bantahan terhadap usaha PN mengurangkan beban yang ditanggung rakyat akibat krisis pandemik.
Program Gerai Prihatin Rakyat telah lama dilaksanakan di Melaka oleh PN, sebaik sahaja selepas rejim PH tumbang di negeri itu.
Malah, program serupa turut dilaksanakan di Johor yang ditadbir kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan PN.
Jadi, penganjuran inisiatif Gerai Prihatin Rakyat adalah kesinambungan dari program sedia ada dan bukannya dilancarkan semata-mata sempena PRN Melaka.
Walau apa pun, Bersih layak menerima satu markah kerana berani bersuara, berbanding dengan sikap mereka yang diam menikus ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dahulu.
Dalam satu sidang media oleh calon-calon Bebas, Bersih dikecam secara terbuka kerana gagal menegur kesalahan-kesalahan berkaitan kempen pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh jentera dan calon PH.
Timbul dakwaan daripada calon-calon lain bahawa aset dan jentera kerajaan disalahgunakan dalam kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Bersih dikatakan tidak menyuarakan bantahan atau teguran yang keras berhubung isu tersebut.
Kalau ada pun, sekadar ‘peringatan mesra’ yang tidak diambil peduli oleh jentera PH.
Malah, PRK Parlimen Port Dickson yang berlaku ekoran keghairahan Anwar memenuhi nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri sepatutnya dijadikan modal oleh Bersih bagi mengutuk tindakan yang terang-terangan menghina amalan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.
Tetapi seperti biasalah. Kalau isu melibatkan pihak selain PH, Bersih akan lantang bersuara menyuarakan bantahan.
Sebaliknya, jika bersangkut paut dengan PH, tegur pun setakat ala kadar sahaja.
Leave a Reply