iCON

Projek iCON perkasa keusahawanan luar bandar

Oleh RIZQI ZABIDI

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) serta State Secretary Kedah (SSK) Incorporated hari ini melancarkan sebuah projek pembangunan menyeluruh baharu yang dikenali sebagai Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelancaran iCON yang diluluskan Kementerian Kewangan dalam Bajet 2021 di Guar Chempedak serta Baling bertujuan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, bakal menyediakan landasan lebih luas kepada kalangan usahawan serta komuniti luar bandar untuk lebih berdaya saing.

“Dalam masa, iCON diyakini dapat memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat tempatan melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.

“Projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan selain mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu di Kedah,” katanya dalam majlis pelancaran yang disempurnakan secara dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerja-kerja pembinaan infrastruktur bagi kedua-dua tapak iCON tersebut akan dimulakan pada suku kedua 2022 dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada awal 2024.

Sementara itu Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, aktiviti ekonomi menerusi projek iCON cukup berpotensi untuk disokong oleh program-program modal insan lain diketengahkan NCIA seperti entrepreneurNCER, Dana Usahawan (DU@NCER) dan empowerNCER.

“Selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membasmi kemiskinan dan mengurangkan migrasi keluar penduduk, NCIA akan terus menerajui pelaksanaan projek-projek strategik berpaksikan rakyat.

“Projek-projek sebegini diyakini akan menyumbang ke arah kesejahteraan sosioekonomi rakyat dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *