Radzi siasat dakwaan sekolah periksa haid pelajar

DAKWAAN berhubung amalan pemeriksaan haid dalam kalangan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur diberi perhatian serius oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau terus bergegas ke sekolah berkenaan malam tadi sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mengadakan lawatan kerja di sekitar Kuching.

Menurut Radzi, beliau ingin mendapatkan maklumat berhubung dakwaan pemeriksaan haid tersebut sambil menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan amalan sedemikian tidak terus berlaku.

“Kedatangan saya pada malam ini adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan.

“Selain itu, kami juga mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah. Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan sebentar tadi.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Turut menyertai Radzi ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Dakwaan berhubung amalan memeriksa haid pelajar perempuan pernah dilaporkan berlaku di sebuah sekolah menengah sebelum ini.

Tindakan itu dikecam oleh orang ramai kerana dikatakan memalukan serta mengganggu privasi pelajar-pelajar perempuan terbabit.

Difahamkan, langkah itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar yang tidak dapat menunaikan solat berjemaah di surau sekolah benar-benar sedang mengalami haid.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *