Oleh RAHIMI MOHAMAD
TIGA lelaki maut manakala seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan berhampiran Jalan Kampung Melayu Raya, Segamat, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Mereka yang maut ialah Thomas Tio Jia Wang, 19, dan Tio Kah Yong, 20, serta Ab. Razak A. Ghani, 64, manakala V. M. Mahendran, 22, cedera dalam insiden kemalangan terbabit.
Jia Wang dan Kah Yong yang menaiki kereta jenis Ford Fiesta disahkan mati di tempat kejadian sementara Ab. Razak meninggal dunia ketika berada di Hospital Segamat untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, berdasarkan siasatan awal, kenderaan dinaiki dua pemuda itu dipercayai berlanggar dengan motosikal ditunggang Mahendran yang bergerak dari arah sama iaitu dari Labis ke pekan Segamat.
“Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut kemudiannya telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar Mitsubishi Storm dinaiki warga emas yang bergerak dari arah bertentangan menghala ke Tenang,” katanya di sini hari ini.
Jia Wang dan Kah Yong mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala Ab. Razak cedera di bahagian dalaman perut.
Mahendran yang merupakan operator kilang mengalami cedera ringan di bahagian pinggang dan motosikalnya rosak di bahagian ekzos yang patah, lampu belakang pecah dan lampu isyarat belakang sebelah kanan patah.
Manakala, kedua-dua kereta dan pacuan empat roda itu remuk teruk di bahagian depan akibat pelanggaran yang berlaku.
Dalam pada itu, Bahrin berkata, keadaan jalan raya adalah lurus di tempat kejadian dan memiliki garisan putih berkembar di tengah-tengah jalan sebagai pemisah lorong selain aliran trafik lancar.
“Permukaan jalan licin kerana cuaca baru lepas hujan sewaktu kejadian dan pencahayaan di kawasan kejadian adalah gelap selain tiada lampu jalan,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, PKPgB Marzuki Ismail berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) yang dikejarkan ke lokasi kejadian bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kereta.
Katanya, sebanyak dua jentera EMRS dari BBP Bandar Baru Segamat dengan kekuatan keseluruhan seramai 10 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian diketuai Pegawai Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd Rahman.
Operasi melibatkan pasukan bomba ditamatkan pada pukul 10.35 malam setelah mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.
Leave a Reply