KERAJAAN akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum negara ini menerima seramai 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, pekerja asing dari Indonesia akan dibawa masuk terlebih dahulu untuk bekerja dalam sektor berkenaan sebelum diikuti oleh pekerja asing dari negara-negara sumber yang lain.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Zuraida turut memaklumkan, SOP kemasukan pekerja asing yang bakal dikuatkuasakan itu akan difokuskan kepada pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan sawit terlebih dahulu.
“Perincian berhubung mekanisme untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber akan dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam masa terdekat dan sebarang perubahan SOP tertakluk kepada perbincangan pihak KSM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Segala kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini adalah di bawah tanggungjawab majikan bagi setiap kelulusan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah beliau, pihak majikan akan memastikan kesemua pekerja mereka telah lengkap divaksinasi dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh mereka sendiri.
Menurut Zuraida, kerajaan Indonesia juga menyambut baik prosedur yang telah ditetapkan oleh Malaysia untuk rakyat mereka bekerja di negara ini.
Pada 22 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing.
Ismail Sabri yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan berdasarkan kes oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, majikan yang berminat untuk menggajikan pekerja asing perlu menanggung semua kos berkaitan untuk membawa mereka masuk ke Malaysia
Antaranya kata beliau, meliputi kadar bayaran levi dan kos kuarantin wajib setelah mereka tiba di pintu masuk negara.
Menurutnya, ketibaan semua pekerja asing hanya dibenarkan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, serta pintu masuk Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan kemudian nanti.
Bercakap dalam sidang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing hari ini, beliau berkata, pekerja asing juga perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang diperakui oleh kerajaan.
Leave a Reply