Bayi rentung

Budak maut terjatuh dari tingkat tujuh selepas ikuti PdPR

SEORANG kanak-kanak perempuan yang pada mulanya mengikuti kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dalam biliknya ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah pangsapuri di Presint 5, Putrajaya semalam.

Kejadian tersebut berlaku pukul 6.14 petang semasa kanak-kanak tersebut yang berusia 11 tahun tinggal bersama-sama kakaknya, 14, dan adik lelakinya, 7, semasa ibu bapanya keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa tinggal bersama kakaknya yang berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah manakala ibu bapa mereka keluar bekerja.

“Ketika itu mangsa sedang belajar secara dalam talian di bilik tidur seorang diri dan bilik itu berkunci dari dalam manakala jeriji tingkap hanya menggunakan selak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian disedari ibu bapa mangsa selepas pulang dari kerja kira-kira pukul 6 petang yang mendapati bilik mangsa berkunci.

“Selepas dibuka mereka mendapati mangsa tiada di dalam bilik dan kemudian turun ke tingkat bawah apartmen. Ketika itu orang ramai sedang berkumpul dan mendapati anak mereka terbaring di lantai,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 7 malam,” katanya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat dan ujian Covid-19 diperoleh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *