grafik polis semporna

Berpura-pura meminta sedekah sebelum samun dalam kuil

BERPURA-PURA menjadi peminta sedekah sebelum melakukan samun sebuah kuil di Jalan Segambut, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam, dua lelaki dan seorang wanita masuk ke dalam kawasan kuil dan menemui seorang wanita berusia 51 tahun dalam sebuah bilik.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mereka menyamar sebagai peminta sedekah sebelum meminta makanan dari luar bilik wanita berkenaan.

“Setelah mangsa membuka pintu, dua lelaki masuk ke dalam bilik itu lalu memukul mangsa dengan kayu di kepala, badan dan muka serta membawa lari sebentuk cincin emas, pasport, wang tunai RM500 dan dua buah telefon bimbit milik mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas suspek berusia 16 hingga 35 tahun pada jam 11 malam semalam.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM100 serta pakaian yang digunakan semasa kejadian,” katanya.

Beliau berkata, seorang suspek juga disiasat di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 kerana mempunyai beberapa tatu di badan disyaki ahli kumpulan pertubuhan yang tidak sah.

“Ketiga-tiga tangkapan mengaku terlibat dalam kes samun itu,” katanya.

Katanya, dua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dua rekod masih dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah.

“Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *