Azmin UMNO

Ramai pemimpin, akar umbi UMNO mahu kerjasama dengan Bersatu – Azmin

prn melaka

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, ramai pemimpin dan akar umbi UMNO mahu parti tersebut menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka berharap untuk melihat kuasa politik Melayu dikekalkan di Melaka pada PRN tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri percaya bahawa pandangan berkenaan menggambarkan harapan akar umbi UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, Mohamed Azmin menyatakan, PN dan Bersatu tidak mahu mencampuri urusan dalaman UMNO dan pada masa yang sama, menghormati pandangan pemimpin dan akar umbi parti itu.

“Pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu adalah pandangan beliau.

“Bagaimanapun, saya dapat banyak maklumat pemimpin dan akar umbi UMNO yang mahu diwujudkan kerjasama dengan Bersatu, tetapi itu adalah masalah dalaman UMNO dan kami tidak mahu campur,” katanya seperti dilaporkan BH.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian selepas menghadiri program perjumpaan dengan jentera pilihan raya PN Bahagian Masjid Tanah, di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di Masjid Tanah, Melaka, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO telah memuktamadkan kepuutusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

Berikutan kenyataan Ahmad Zahid itu, Pengerusi PN dan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Perkembangan terkini melibatkan dua parti Melayu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan akar umbi dan penyokong tentang kemungkinan Melaka akan jatuh semula ke tangan Pakatan Harapan (PH), seperti apa yang berlaku selepas PRU-14.

Ramai pemerhati politik berpandangan, pertembungan tiga penjuru atau lebih di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu akan memberi kelebihan kepada calon-calon PH.

Sehubungan itu, kerjasama antara parti-parti Melayu iaitu UMNO, PAS dan Bersatu mampu mengekang kemaraan PH di Melaka.

Bersatu dan PAS telah berulang kali mempelawa UMNO untuk bekerjasama namun masih belum mendapat sambutan daripada Ahmad Zahid.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *