mahjabin hakimi

Pemain bola tampar Afghanistan, Mahjabin Hakimi dipenggal Taliban?

LAPORAN media Barat termasuk New York Post kononnya pemain bola tampar remaja perempuan Afghanistan, Mahjabin Hakimi mati akibat kepalanya dipenggal oleh Taliban di Kabul terbukti tidak benar.

Memetik laporan Alt News, salah seorang ahli keluarga mangsa memberitahu bahawa gadis itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

Pejuang Taliban mula memasuki Kabul pada 15 Ogos, lebih seminggu selepas Mahjabin meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, punca kematian mangsa tidak dinyatakan.

Ahli keluarga mangsa juga berkongsi gambar batu nisan pada kubur Mahjabin yang memaparkan tarikh kematian pada batu berkenaan.

Abang mangsa, Skandar Hakimi menukar profil Facebook miliknya kepada bulatan gelap pada 7 Ogos.

Rakan Mahjabin juga memuat naik gambar mangsa pada 9 Ogos dan merakamkan ucapan takziah atas pemergiannya.

Gambar mayat Mahjabin sebelum ini tular dalam media sosial, tetapi ia juga tidak menunjukkan mangsa dipenggal.

mahjabin hakimi
Mahjabin Hakimi (dalam bulatan) bersama rakan-rakan sepasukannya. – Gambar: Carian internet

Sementara itu, wartawan India, Deepa K Parent menerusi Twitter berkata, beliau juga sudah bercakap dengan keluarga Mahjabin serta memadamkan ciapan mengenai kematian mangsa kerana ‘laporan tidak tepat’.

Mahjabin menyertai Kelab Bola Tampar Perbandaran Kabul sebelum Taliban mengambil alih kuasa pada akhir Ogos.

Bulan lalu, pemain pasukan kebangsaan Afghanistan mendakwa mereka menyembunyikan diri daripada pejuang Taliban.

Jurulatih mereka mendakwa gadis itu dibunuh dan gambarnya disebarkan dalam media sosial, lapor The Sun.

Dakwaannya itu kemudian dipetik laman sesawang Persian Independent dan kemudian disiarkan oleh beberapa media Barat.

Beberapa media termasuk New York Post melaporkan wanita itu dipenggal oleh Taliban.

Seorang ahli pasukan bola tampar terbabit yang melarikan diri dari Afghanistan ke United Kingdom (UK), sebelum ini memberitahu BBC, seorang ahli pasukannya telah dibunuh oleh Taliban.

Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) memberitahu Inside The Games bahawa pihaknya mengambil maklum tentang laporan berkenaan dan sedang berusaha mendapatkan pengesahan secepat mungkin mengenai isu tersebut.

Setakat ini, Taliban masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *