kehilangan mamat khalid

Dunia seni kehilangan sebutir bintang – Ismail Sabri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dunia seni hari ini kehilangan sebutir bintang dengan pemergian Allahyarham Mohamad bin Mohd Khalid atau dikenali sebagai Mamat Khalid, yang meninggal dunia sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi.

Menurut beliau, Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanah air dan disegani dalam dunia perfileman negara.

“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanah air di atas kehilangan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mamat Khalid, 58, yang terkenal dengan filem arahannya seperti ‘Zombi Kampung Pisang’ dan ‘Hantu Kak Limah’, meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River, Perak.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid sebagai seorang wira yang memperjuangkan agenda perpaduan melalui karya filem yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia.

Beliau memberitahu, pengarah filem terkenal itu telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum dalam karya-karya besarnya.

“Beliau adalah seorang pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

“Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Halimah berkata, melalui karya-karya yang dihasilkan Mamat Khalid, ada nilai-nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum dan nilai kebersamaan.

Menurut beliau, keindahan sebuah karya seorang pengarah filem adalah apabila ia menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum, selain turut menghantar mesej-mesej positif yang diterima sehingga melangkaui zamannya.

“Mamat Khalid bukan sahaja menghasilkan karya seni yang bersifat humor, tetapi juga mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat-menghormati, berkasih sayang, tolong-menolong dan bertoleransi sesama masyarakat.

“Di situ ‘mahalnya’ sebuah karya seni apabila ia turut bercerita dengan nilai yang positif, sehingga dikenang dalam sejarah,” katanya.

Halimah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mamat Khalid dan berharap seluruh keluarga Allahyarham diberikan ketabahan atas kehilangan ini.

“Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara, dan saya percaya karya-karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *