ANALISIS
CARTA organisasi UMNO menunjukkan jika Presiden tidak ada, maka Timbalan Presiden boleh menjalankan tugas-tugas Presiden, begitu juga dalam Barisan Nasional (BN) jika Pengerusi tidak ada Timbalan Pengerusi boleh menjalankan tugas Pengerusi.
Oleh itu apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk menangguhkan perjalanannya ke Singapura bagi mengurus persediaan UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, ramai tertanya-tanya, di manakah Datuk Seri Mohamad Hasan?
Bukankah Tok Mat Hasan adalah Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN? Kenapa pula Najib ‘diamanahkah dengan tanggungjawab untuk memastikan bahawa UMNO sewaktu PRN Melaka bertindak secara teratur dan dengan sementara ketiadaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?
Soal Najib meminta penangguhan perjalanan itu hak beliau dan terpulang kepada mahkamah yang mana permohonan itu dijadualkan akan didengar di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa kerana beliau menghadapi tuduhan berasingan berkaitan kes 1MDB.
Tetapi yang menjadi perhatian kenapa sampai ke tahap Najib terpaksa menangguh perjalanan? Adakah kepemimpinan UMNO tidak yakin Tok Mat Hasan boleh mengendalikan jentera UMNO dan BN dengan teratur? Bukankah beliau adalah Pengarah Pilihan Raya UMNO yang dilantik pada Julai lalu?
Dan jangan lupa Tok Mat Hasan pastinya akan mendapat sokongan padu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dan Datuk Seri Khaled Noordin, ‘panglima perang’ UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki dan menteri-menteri UMNO.
Justeru Ahmad Zahid dan Najib tidak perlu risau sangat. Mohamad sudah membuktikan keupayaan mengemudikan UMNO ketika Ahmad Zahid bercuti dahulu sehingga UMNO menang dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk di DUN Rantau kerusi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sekaligus mengembalikan keyakinan serta memulihkan semangat ahli UMNO.
Jadi kenapa pula Najib dilihat nak menyibuk? Adakah Najib masih yakin dengan populariti jenama ‘bossku’ ia akan membantu kemenangan UMNO dan BN? Apa salahnya Mohamad Hasan mengemudi UMNO di Melaka dengan bantuan Ismail Sabri?
Adakah Ahmad Zahid dan Najib bimbang populariti Mohamad Hasan dan Perdana Menteri akan meningkat jika BN dan UMNO menang di Melaka? Tidakkah kehadiran Najib akan dilihat boleh ‘menyambung episod ‘dua singa atas satu gunung’ selepas beliau dilihat lebih popular dan lebih berpengaruh daripada Ahmad Zahid dalam UMNO? Atau Adakah ia ‘isyarat’ Najib mahu melakukan ‘come back’ dan PRN Melaka akan dijadikan platform untuk beliau membuktikan keupayaannya?
Semua itu adalah persoalan, andaian dan tafsiran yang boleh dibuat berikutan permohonan Najib untuk menangguh perjalanan beliau ke Singapura. Apapun sama-sama kita tunggu siapa sebenarnya yang akan mengepalai jentera UMNO dan BN di Melaka. Yang pasti Mohamad Hasan sudah membuktikan keupayaannya semasa ketiadaan Ahmad Zahid dan beliau mungkin boleh mengulangi sekali lagi tanpa Ahmad Zahid dan Najib.
Leave a Reply