Oleh RIZQI ZABIDI
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah pun memulakan kerja-kerja pemulihan jangka pendek di Yan bagi mengurangkan impak terhadap kejadian aliran debris yang berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.
Pengarah JPS negeri, Md. Khuzai Hussain berkata, kerja-kerja itu mula dijalankan sejak pertengahan September lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada awal November depan.
Menurutnya, antara skop kerja yang terlibat adalah pengorekan semula sungai yang tertimbus akibat mendapan, penstabilan tebing sungai bagi tempat yang terhakis teruk serta membaik pulih pintu-pintu air yang rosak supaya dapat kembali beroperasi dengan baik.
“Selain itu kami turut mengalihkan, membersih dan membuang halangan pokok, reba serta ranting dan dahan yang terserkat di struktur lintasan seperti jambatan bagi melancarkan aliran sungai.
“Dalam masa sama kami turut membaik pulih kawasan rekreasi dengan menyusun semula bongkah batu dan membuat semula saluran untuk aliran air berjalan lancar,” katanya.
Semalam Warta Rakyat melaporkan mengenai kebimbangan penduduk di kawasan terlibat yang mengharapkan agar kerajaan bertindak segera bagi mendalamkan sungai-sungai tersebut.
Ia berikutan kejadian banjir kilat yang didakwa sering berlaku kebelakangan ini kerana sungai-sungai di kawasan itu sudah semakin cetek sejak terjadinya tragedi aliran debris pada 18 Ogos lepas.
Katanya, setakat ini sebanyak 65 peratus kerja tersebut telah disiapkan dengan semuanya berjalan serentak melibatkan penggunaan satu jentera di satu tapak.
Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan 11 kerja itu dijangka dapat mengurangkan impak kejadian banjir kilat dan menyelesaikan masalah yang timbul ekoran kejadian tanah runtuh di kawasan tertentu.
“Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya, kelangsungan kepada pelaksanaan segera kerja-kerja pemulihan ini diperlukan bagi memastikan keselamatan nyawa orang awam dan mengurangkan kerosakan harta benda.
“Penyelesaian bagi keseluruhan kesan bencana ini adalah di bawah pelan pemulihan jangka panjang yang dalam proses kelulusan pelaksanaan di peringkkat kementerian,” katanya.
Beliau memaklumkan, 11 sungai yang terlibat dengan kerja-kerja itu adalah Sungai Batu Hampar, Sungai Bakong, Sungai Raga, Sungai Ruat Air, Sungai Titi Hayun, Sungai Dara Mandi, Sungai Yan Besar, Sungai Singkir, Sungai Teroi, Sungai Setar dan Sungai Seri Perigi.
Leave a Reply