JAWATANKUASA Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini meluluskan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing, bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan, dan diluluskan secara ‘case-by-case basis’ oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.
“Kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan yang lain adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, SOP kemasukan pekerja asing ke negara ini yang diluluskan, merangkumi empat peringkat iaitu praperlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.
Katanya, SOP di peringkat praperlepasan ialah telah menerima vaksinasi lengkap di negara sumber, melakukan ujian saringan menggunakan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR), 72 jam sebelum meninggalkan negara asal, mengemukakan sijil vaksinasi, mematuhi syarat dan dasar imigresen, serta lain-lain kriteria yang ditetapkan kerajaan.
Ismail Sabri berkata, kemasukan pekerja asing hanya dibenarkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Namun, pekerja asing warga Thailand yang bekerja sebagai kru kapal vesel penangkapan ikan tempatan, dibenarkan masuk melalui laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian, Betong dan Rantau Panjang.
Katanya, semasa ketibaan, mereka juga perlu melalui laluan khas pekerja asing yang disediakan.
Perdana Menteri berkata, selepas ketibaan, pekerja asing perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari di pusat kuarantin sekitar Lembah Klang yang diperakui kerajaan, kecuali kru kapal penangkapan ikan tempatan warga Thailand yang dibenarkan menggunakan pusat kuarantin berdekatan pintu masuk.
Ujian RT-PCR perlu dilakukan pada hari kedua dan hari kelima tempoh kuarantin dan sekiranya positif, kes kategori satu atau dua perlu diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta, manakala kes kategori tiga, empat dan lima perlu dirujuk ke hospital swasta.
Sebaliknya, jika keputusan disahkan negatif dan telah tamat kuarantin, pekerja asing akan dibawa ke premis majikan menggunakan pengangkutan disediakan majikan, serta perlu melengkapkan urusan dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. – BERNAMA
Leave a Reply