Satu lawan satu boleh bawa kejayaan besar, jangan ikut emosi – Pas

MURSYIDUL Am Pas,  Datuk Hashim Jasin berharap dengan agar pemimpin UMNO dan Bersatu berlapang dada melupakan perkara yang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan dua parti itu dan terus bersatu demi kepentingan ummah.

Katanya, Pas berharap dalam pilihan raya nanti kalau boleh ketiga-tiga parti  bersatu satu lawan satu kerana menerusi pertandingan satu lawan satu harapan untuk mencapai kemenangan adalah lebih besar daripada masing-masing bertanding atas parti sendiri.

“Jadi saya dengan penuh tawaduk mengharapkan kepimpinan UMNO terutamanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berlapang dada melupakan segala perkara yang memecahbelahkan demi untuk mencapai tujuan yang lebih suci dan murni,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Hashim berharap Pas, UMNO dan Bersatu dapat menghindari daripada memasuki pilihan raya dengan pertandingan banyak penjuru.

“Saya tetap berharap dan merayu agar kita dapat bersedia menghadapi pilihan raya tidak kiralah di peringkat mana pun mulai sekarang dan tetap dengan pertandingan satu lawan satu.

“Semoga UMNO faham dan seterusnya bersedia untuk meletakkan matlamat utama di tempat yang teratas bukan hanya mengikut emosi,” ujarnya lagi.

Namun begitu, katanya, jika terdapat banyak halangan, maka Pas akan memilih halangan yang lebih ringan.

“Kita bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip satu lawan satu. Kita minta dengan Allah supaya sekurang-kurangnya tiga parti ini akan bersama membuat persediaan dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya akan datang, insya-Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *