Oleh RIZQI ZABIDI

ALIRAN air deras dari Gunung Jerai yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Yan dan Singkir semalam menghadirkan rasa trauma buat penduduk di kawasan berhampiran.

Manakan tidak, ini merupakan kali ketiga kawasan itu dinaiki air selepas tragedi aliran puing yang mengorbankan enam nyawa pada 18 Ogos lalu.

Menurut seorang warga emas, Zaitun Abdullah, 63, kejadian itu berlaku ketika dia yang tingggal berseorangan di rumah sedang bersiap-siap mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat maghrib.

“Air naik dengan pantas dan deras hingga menyebabkan mesin basuh serta peti ais terbalik dan dihanyutkan dari dapur. Saya yang tinggal berseorangan pada waktu itu tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan hanya menyelamatkan sedikit saja barang.

“Setelah air surut, saya cuba membersihkan kawasan rumah sedikit demi sedikit. Namun sekali lagi air naik kira-kira pukul 11 malam dan ketika itu saya sudah kehabisan tenaga untuk membersihkan rumah,” katanya.

Tambahnya, lumpur yang dibawa banjir itu semalam turut menyebabkan dia tidak mampu untuk membuka pintu rumahnya sendiri apabila air surut, awal pagi ini.

“Mujurlah rumah saya berdekatan dengan jalan menyebabkan saya dapat meminta tolong kepada individu yang lalu di sini bagi membantu membuka pintu,” katanya.

Aliran arus deras akibat hujan lebat semalam menyebabkan beberapa kawasan di Mukim Singkir dan Yan dinaiki air hingga kejadian mengenainya ditularkan di media sosial sejak malam tadi.

Sementara itu jirannya, Hamzaini Nayan, 59, mengakui, merasa trauma dan serik dengan kejadian yang berlaku selain mengharapkan pihak berkaitan berusaha melakukan sesuatu agar kejadian iu tidak berulang.

“Kami amat berharap agar pihak berkuasa segera mendalamkan sungai berhampiran agar kejadian ini tidak lagi berulang.

“Kalau sebelum ini ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang tolong membersihkan rumah, kini semua kami terpaksa buat sendiri. Harap-harap kejadian sebegini tidak lagi berulang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here