dos ketiga vaksin golongan antivaksin

Tahniah KJ: Terus tegas dengan golongan antivaksin

Oleh PROF DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

RAMAI mengkritik kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertindak tegas terhadap kumpulan antivaksin. Mereka mendakwa kenyataan Khairy angkuh dan sombong kerana mengugut rakyat.

Turut mengkritik tindakan Khairy ialah ialah Ketua Pembangkang dan beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka menyatakan jangan guna ‘paksaan’ terhadap rakyat yang enggan menerima vaksin, sebaliknya beri kesedaran kepada mereka.

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa NGO ini betul dari segi Perlembagaan, tetapi dari segi kesihatan dan moralnya, kenyataan ini bahaya kerana memberikan golongan antivaksin legitimasi yang salah.

Kesedaran apa lagi yang hendak diberikan kepada golongan antivaksin ini? COVID-19 ini sudah dua tahun mengurung rakyat di rumah.

Sudah 2.4 juta orang di negara kita terjangkit COVID-19 dan 28,000 orang meninggal dunia dan kesannya besar kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara. Apakah perlu diberikan kesedaran lagi? Kesedaran apa?

MOHAMMAD AGUS YUSOFF
MOHAMMAD AGUS YUSOFF

Saya setuju dengan pendekatan tegas Khairy terhadap golongan antivaksin. Sekurang-kurangnya Khairy mempunyai keberanian dan ketegasan untuk melakukan sesuatu yang betul untuk rakyat dan negara. Golongan antivaksin ada hak sebagai rakyat dan saya juga ada hak sebagai rakyat untuk dilindungi.

Malah, jika saya di kedudukan Khairy, saya wajibkan vaksinasi. Jika golongan ini percaya kepada ubat suplementari dan Ivermectin, itu hak dan pilihan mereka, tetapi jangan biarkan mereka bebas berkeliaran bersama dengan golongan yang telah divaksin.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berikan hak mengundi golongan antivaksin ini, tetapi asingkan mereka di bilik berasingan dengan pengundi yang telah divaksin.

Vaksin ini adalah soal keselamatan kesihatan negara. Jika bertolak ansur lagi dengan golongan antivaksin ini, Malaysia tidak akan pernah pulih.

Bagi golongan antivaksin ini, tidak hendak ambil vaksin tidak mengapa, tetapi duduk diam sahaja di rumah dan jangan bercampur di tempat ramai.

Berhujah pun tidak ada guna kerana mereka akan selalu memberikan alasan ada ubat alternatif, hak asasi dan kebebasan individu. Mereka juga akan kata tindakan memaksa mereka menerima vaksin bertentangan dengan Nuremberg Code dan perlembagaan.

Saya letih dengan alasan golongan antivaksin ini. Bagi saya, enggan menerima vaksin adalah tidak bertanggungjawab dan menafikan hak 90 peratus rakyat yang telah divaksin untuk bebas daripada COVID-19.

Leadership is about making hard choices for the good of the community. Tahniah kerajaan dan tahniah Khairy.

Penulis ialah Profesor Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Artikel ini dipetik dari laman Facebook beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *