Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KEDUDUKAN lokasinya cukup strategik, berhampiran pula dengan pusat bandar raya Kuala Terengganu yang turut menyerlahkan pelbagai panoràma menarik menjadikan Lanbayu Seafood bukan sekadar tempat untuk menjamu selera.

Malah, operasi kedai makanan laut yang terletak di birai muara sungai Terengganu, di Kampung Duyong Kecil itu boleh dijadikan sebagai tempat beristirehat, bersantai sambil mencari ketenangan.

Dengan keindahan panorama n, ia sudah pasti menjanjikan suatu kelainan kepada mereka yang menjamu selera di situ terutama pada waktu senja dan malam.

Bagi penggemar makanan laut dan juga pelbagai menu masakan panas berasaskan Terengganu, Lanbayu Seafood barangkali mampu memenuhi citarasa selera anda.

Menurut pemilik Lanbayu Seafood, Ruslan Abdul Rahman, antara daya penarik orang ramai ke situ kerana ia merupakan tempat makan yang nyaman dan terletak di birai serta muara sungai.

“Ia adalah sesuatu yang unik, di birai sungai terdapat jeti tempat bot berlabuh di samping nun di hadapan pula kelihatan pusat bandar raya dan jambatan angkat,” ceritanya kepada Warta Rakyat.

Ruslan Abdul Rahman

Justeru kata Ruslan, bagi mereka yang inginkan kelainan tempat menjamu selera dipersilakan untuk menikmati pelbagai juadah di situ termasuk keropok serta ikan, udang dan ketam celup tepung.

Jelas beliau, operasi perniagaan bermula pukul 5.30 petang hingga 11.50 malam.

Menurutnya, operasi kedai makannya kembali beroperasi pada minggu lalu selepas ditutup ekoran kerajaan mengenakan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Lockdown di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Setelah sekian lama terkurung, tiba masanya untuk anda menikmati betapa indahnya alam ciptaan tuhan, mata bebas menikmati cahaya malam sambil menjamu selera.

“Ada juga menu seperti ikan bakar, stemboat, tomyam, ikan bakar, westernfood dan pelbagai masakan panas lain.

Alhamdullillah, sejak dibuka semula minggu lalu dan rentas negeri juga telah dibenarkan, pelanggan kini mula datang untuk menjamu selera terutama pada hari Khamis dan Jumaat,” tambahnya.

Dalam pada itu Ruslan turut berharap agar Kerajaan Terengganu khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dapat mengecualikan bayaran sewa premis sepanjang tempoh perniagaan tidak beroperasi.

Katanya, bagi mereka yang berniaga kedai makan memang terasa betapa peritnya ketika tidak beroperasi, apabila pelanggan ramai memang seronok, tetapi ketika tiada orang, terpaksa menggaru kepala yang tidak gatal.

“Bayangkan setiap malam kita memerlukan RM300 untuk membayar gaji pekerja sahaja.

“Mengayuh kehidupan tidak selalu indah dan tidak juga duka berpanjangan, kayuh antara jalan rata dan juga jalan berbatuan
kerikil tajam menghiris tapi tidak meluka,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here