Oleh RAHIMI MOHAMAD
DADAH jenis methamphetamine dengan berat 398.2 kilogram (kg) yang bernilai RM14.33 juta berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membabitkan sindiket antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai lokasi transit.
Kejayaan itu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah yang dibawa dari Guatemala bersama 100 guni biji kopi pada pukul 12 tengah hari, Sabtu lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pembongkaran aktiviti itu hasil perkongsian maklumat Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) yang memaklumkan kontena itu disyaki membawa muatan dadah.
Beliau berkata, sindiket menggunakan jalan laut dari luar negara dan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diseludup keluar ke negara ketiga dengan mengisytiharkan sebagai barangan sah.
“Kontena itu dibawa dari Guatemala sebelum berpindah kapal melalui Panama, Shanghai (China) dan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas sebelum akan dibawa ke Manila, Filipina.
“Dalam kes ini, dadah ditemui dalam kontena yang membawa muatan biji kopi. Malah, sindiket membungkuskan dadah itu bersama serbuk pencuci bagi mengelak daripada dikesan oleh anjing pengesan.
“Namun, dengan menggunakan peralatan ‘backscatter’, hasil imbasan yang dibuat mengesan perbezaan dalam imej tersebut yang disyaki membawa barangan kontraban atau dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Tambah Razarudin, apabila kontena diperiksa, kesemua 14 guni dadah itu didapati diletakkan di celah-celah bungkusan lain yang diisytiharkan sebagai muatan biji kopi.
Tiada sebarang tangkapan dibuat susulan rampasan dadah itu setakat ini, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa untuk melakukan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket terbabit.
Menurut beliau, hasil rampasan dadah itu dipercayai dapat digunakan kepada 1.99 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kes terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan dadah melibatkan penahahan seorang rakyat negara ini di Australia yang dilaporkan, Sabtu lalu.
Malah, Razarudin turut mengesahkan suspek yang ditahan pihak berkuasa Australia bukanlah keldai dadah memandangkan lelaki berusia 38 tahun itu sudah memasuki negara tersebut sejak tahun lalu lagi.
“Lelaki yang ditahan di Australia itu telah memasuki negara itu pada Januari 2020. Oleh itu, kita boleh menolak bahawa beliau bukanlah keldai dadah kerana masuk Australia lebih awal sejak tahun lalu.
“Kalau keldai dadah, mereka membawa dadah khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu seperti menaiki kapal terbang sebelum ditahan, namun lelaki itu sudah berada di sana,” katanya.
Ujarnya, siasatan kes terbabit mungkin akan mengambil masa yang lama kerana polis perlu melakukan risikan bernilai dan berkualiti.
Leave a Reply