Nelayan warga emas

Umur 100 tahun tidak halang jadi nelayan

FAKTOR usia 100 tahun tidak menghalang seorang warga emas dikenali sebagai Santos untuk mencari rezeki dan menjadi nelayan di Australia.

Warga emas tersebut menangkap ikan bersama-sama seorang anak lelakinya, Robert, 71, di Teluk Broken, utara Sydney.

Dia menangkap ikan hanya untuk dua malam bagi setiap satu seminggu dengan menggunakan sebuah bot.

Jabatan Industri Utama-Perikanan, New South Wales (NSWDPIFisheries) menerusi Facebook rasminya memaklumkan, Santos akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang 101 pada bulan depan.

Kedua-dua mereka selalu patuh dengan peraturan dan sentiasa bersikap sopan ketika berhadapan dengan pegawai-pegawai perikanan.

Cerita yang dikeluarkan jabatan berkenaan dalam akaun Facebook mereka semalam kemudian mendapat komen daripada pengguna-pengguna laman sosial itu yang memuji bapa dan anak tersebut sehingga menganggapnya sebagai khazanah negara.

“Itu menakjubkan! Mesti ada sesuatu di dalam air yang menyebabkan mereka mempunyai hati seperti orang muda,” kata seorang nelayan di laman sosial itu.

Seorang lagi pengguna Facebook menyatakan bahawa dia mengenali Robert dan menganggapnya sebagai seorang yang bersopan-santun dan lelaki yang amat istimewa.

Dia juga seolah-olah tidak percaya bahawa Santos masih lagi sihat untuk keluar untuk menangkap ikan. – Agensi


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *