Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEGEMBIRAAN sebuah keluarga sedang merentas negeri berakhir tragedi apabila terbabas dan masuk gaung sedalam 30 meter di Kilometer 28.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, Kulai, malam tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Wan Mohd Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 10.50 malam.
Susulan itu seramai lapan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan tersebut membabitkan kenderaan pelbagai gua (MPV) jenis Toyota Estima. Kesemua mangsa balik ke kampung dan dipercayai dari Senawang, Negeri Sembilan.
“Mangsa adalah Syaidi Mohd. Nor, 48, Azlina Nazarudin, 45, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak yang belum dikenal pasti identitinya.
“Tiga daripada mereka cedera parah dan berada di bawah gaung. Tindakan operasi menaikkan mangsa dengan menggunakan ‘stretcher,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, semua mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Kulai menggunakan ambulans manakala tiga mangsa cedera ringan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital sama menggunakan EMRS.
“Operasi ditamatkan pada pukul 11.57 malam,” katanya lagi.
Leave a Reply