HAKIM Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang tahun ini.
Mohamad Shakir, 55, yang merupakan anak kelahiran Padang Menora, Tasek Gelugor itu membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.
Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan secara maya dan hibrid menerusi aplikasi Zoom malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Fuzi menggesa umat Islam di Pulau Pinang menghayati tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’.
Menurut beliau, penerapan ‘manhaj rabbani’ itu merujuk kepada tiga elemen utama iaitu keilmuan, kerohanian dan aktivitisme atau gerakan dakwah berteraskan ‘amar makruf nahi mungkar’ dalam memangkin umat Islam berkualiti.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru umat Islam meneladani akhlak yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dalam setiap norma kehidupan.
Leave a Reply