Oleh RIZQI ZABIDI
BELUM sempat menjual emas dan perak yang dilarikan, seorang lelaki dicekup polis selepas dia disyaki memecah masuk sebuah kedai emas di Seberang Jalan Putra, Alor Setar, semalam.
Kejadian pada mulanya disedari pemilik kedai emas berusia 46 tahun sebaik tiba di premis jam 9 pagi dan terkejut apabila mendapati pintu kedai pecah sebelum dia membuat laporan polis dua jam kemudian.
Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati ada dua kesan cap jari dan polis turut merampas barang kes iaitu mangga serta gunting yang dipercayai digunakan suspek ketika memecah masuk kedai emas terbabit.
Bagaimanapun, suspek ditahan di Jalan Raja, Alor Setar pada pukul 6.45 petang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Raja dan semakan mendapati dia memliki 17 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
Menurutnya, polis berjaya merampas pelbagai barang kemas dipercayai dicuri suspek yang terdiri daripada emas, perak dan jed.
“Kita berjaya merampas 16 utas gelang tangan serta kaki, 52 cincin pelbagai bentuk dan warna serta 65 rantai perak serta hitam, 15 ‘bangle’, satu plastik mengandungi 25 set batu cincin, seutas gekang jed dan beg biru.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang jika didapati bersalah bileh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan ,” katanya.
Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Sungai Petani, sebanyak 94 pemilik kenderaan dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas yang dilakukan di Dataran Jam Besar diketuai Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari.
Dalam operasi pukul 10 malam itu, pelbagai saman dikeluarkan terhadap 79 pemilik motosikal, 13 kereta dan dua van kerana kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan ubahsuai nombor pendaftaran.
Kamarul Zaman berkata, seramai 27 individu yang terdiri daripada pemilik, pekerja serta pelanggan turut dikompaun dalam Op Noda yang dijalankan di pusat hiburan di Taman Pekan Baru.
Leave a Reply