DAP nampaknya masih belum dapat memaafkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya nak tegaskan bahawa DAP tolak sama sekali YB Pengkalan Batu (Norhizam) sebagai calon dalam PRN ini. Itu sahaja,” katanya pada sidang media yang diadakan di Melaka hari ini.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan, termasuk kemungkinan Norhizam bertanding menggunakan tiket parti lain dalam pembangkang.
Guan Eng berkata, beliau menegaskan hal itu agar tiada sebarang kekeliruan atau pertanyaan ditimbulkan lagi selepas ini.
“Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tak terima dia sebgai calon dalam pilihan raya ini,” tegasnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.
Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu, PH akan menggunakan lambang gabungan tersebut dalam PRN Melaka.
“Kami akan bertanding dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan dalam PH. Oleh kerana kami bertanding dalam satu pasukan, sudah tentu kami bertanding di bawah khemah besar PH dengan logo PH,” katanya.
Beliau menambah, DAP juga mahu Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dinamakan sebagai calon Ketua Menteri bagi PH.
“Saya harap tak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini, bahawa DAP dengan semua parti komponennya memang sokong Adly sebagai ketua menteri,” katanya.
Leave a Reply