Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG pelajar lelaki sebuah sekolah menengah serta seorang penuntut lelaki dan perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) antara 18 individu ditahan polis selepas terlibat dalam parti liar di sebuah inap desa di Alai, Melaka, semalam.
Dalam serbuan pada pukul 1.25 pagi itu, kesemua 14 lelaki dan empat wanita termasuk penuntut perempuan itu berusia dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, tiga pelajar dan penuntut IPT itu juga antara 13 individu yang positif dadah jenis methamphetamine dan ganja menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Ketika serbuan dilakukan, kesemua individu berkenaan sedang leka dan khayal, pemeriksaan turut menemukan pembesar suara dipercayai untuk tujuan berparti.
“Hasil pemeriksaan lanjut, dua daripada mereka turut didapati memiliki satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai pil ekstasi seberat 0.45 gram dan satu ketulan mampat ceraian daun kering disyaki ganja seberat 2.60 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkiflee, kedua-dua mereka direman empat hari hingga 20 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua individu lain yang didapati positif dadah hasil saringan awal air kencing itu pula disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta sama,” katanya.
Leave a Reply