umrah

Rakyat Malaysia boleh tunai umrah mulai 18 Okt

UMAT Islam di Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan umrah di tanah suci Mekah mulai 18 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September 2021 diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober 2021.

“Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini
berkuat kuasa 18 Oktober 2021,” katanya.

Beliau turut mengumumkan kelonggaran SOP lain seperti yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan:

  • Operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021.
  • Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)
    bermula esok, 16 Oktober 2021.
  • Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.
    I. Tempoh kuarantin 7 hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap,
    II. Tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada/tidak lengkap vaksin.
  • Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat juga berkuat kuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.
    I. Tempoh kuarantin 7 hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin,
    II. Tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada/tidak lengkap divaksin.
  • Pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti seperti berikut berkuat kuasa 17 Oktober 2021:
    I. 80% kapasiti bagi Fasa 3 dan;
    II. 100% kapasiti bagi Fasa 4.
  • Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri-negeri PPN Fasa 3 secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap
    divaksin berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dengan syarat-syarat seperti berikut;
    • Melaksanakan ujian saringan COVID-19 (pre-event test) melalui kaedah
    saliva test atau RTK-Antigen,
    • Mematuhi penjarakan fizikal
    • Memakai pelitup muka
    • Kapasiti 50% mengikut ruang

Selain itu, Perdana Menteri menambah, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berikut berkuat kuasa 18 Oktober ini:
• Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah daripada Fasa 2 kepada Fasa 3.
• Melaka dan Lembah Klang (WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur, Selangor) daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

“Dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri yang dinyatakan, negara Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3.

“SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my,” jelasnya.

Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti iaitu:
• Pembesar Negara
• Menteri
• Timbalan Menteri
• Menteri Besar
• Ketua Menteri
• Exco Kerajaan Negeri
• Ahli-ahli Parlimen
• Pegawai-pegawai Kerajaan

Menurut beliau, pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dan bakal diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat.

Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah:
• Mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama
dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan.
• Menjalani ujian PCR 3 hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
• Menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

“Syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja. Syarat ini juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *