‘’Kini cahaya semakin terang di hujung terowong’’ – Radzi

DATUK Dr.Radzi Jidin berkata, perancangan yang disusuli dengan usaha gigih semua pihak untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 mula menunjukkan hasil yang jelas.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, hari ini tiada lagi negeri berada di Fasa 2.

‘’Putrajaya, Selangor, KL, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Labuan pula telah berada di Fasa 4.  Rentas negeri juga telah dibenarkan. Tentunya hujung minggu ini ramai yang balik ke kampung untuk melepaskan rindu kepada ibu bapa dan keluarga tercinta.

‘’Kadar vaksinasi populasi dewasa juga telah mencapai 95% ketika ini,’’ katanya dalam catatan melalui Facebook beliau.

Berikutan itu beliau mengimbas kembali bagaimana semasa  Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin yang ketika itu  Perdana Menteri, ada yang memandang sinis.

‘’Tidak kurang yang mempertikaikan pengenalan fasa-fasa dalam PPN dan juga nilai-nilai ambang. Sesungguhnya kita dapat lihat cahaya yang semakin terang dari hujung terowong,’’ katanya.

Beliau yang menghadiri mesyuarat Majlis Pemulihan Negara dipengerusikan Muhyiddin berkata, negara kini sedang menuju fasa endemik.

‘’InsyaAllah, dengan usaha berterusan kerajaan dan dokongan seluruh rakyat, negara kita akan kembali pulih.  Sama-sama kita doakan agar semuanya berjalan dengan baik dan teratur,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *