PROGRAM vaksinisasi ini tidak boleh dianggap sebagai menyekat hak kebebasan individu semata-mata kerana ia merupakan usaha dan langkah mengekang penularan wabak Covid-19 agar masyarakat dapat kembali hidup secara normal.
Secara tidak langsung ia dapat memulihkan negara yang terkesan dari sudut sosial dan ekonomi serta membina keyakinan dan jaminan keselamatan komuniti menjalani aktiviti kehidupan sosial pada masa akan datang.
Perkara itu ditegaskan dalam teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertajuk ‘Vaksinasi Ikhtiar Terbaik’’ hari ini.
Menurut khutbah tersebut, realitinya, sejak kebelakangan ini timbul pelbagai andaian dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin dengan tohmahan dan fakta berita yang kurang tepat disebarkan di media- media sosial.
‘’Ia seolah-olah menggambarkan pengambilan vaksin dianggap tidak selari dengan hukum dan syariat Islam. Pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh penghasut tegar anti vaksin secara emosi terhadap penggunaan vaksin menjadikan masyarakat mula terpengaruh dan mempercayai dakyah tersebut.
‘’Akhirnya, timbullah persepsi kenapa perlu mengambil vaksin sedangkan virus masih boleh dijangkiti. Apa yang perlu diketahui, hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Islam diputuskan harus dan wajib diambil selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020,’’ menurut khutbah itu.
Ini kerana, menurut kandungan teksi itu lagi, keutamaan pencegahan sebelum penularan dapat dibendung dengan lebih menyeluruh. Selain itu, pengambilan vaksin dilihat dapat menjaga kebajikan dan kepentingan umum bukan individu tertentu.
‘’Ia memerlukan sokongan dan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19.
‘’Pengambilannya telah disarankan oleh pakar-pakar dalam bidang kesihatan yang mengetahui dan memahami bahaya dan cara pencegahan penyakit ini. Manakala, penolakan vaksin bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan mencetuskan kemudaratan kepada orang lain, kata khutbah tersebut,’’ kata khutbah berkenaan.
Selain itu, menurut khutbah itu lagi, fakta kajian membuktikan pengambilan vaksin Covid- 19 dengan dos lengkap memberi 83% berkesan dalam mencegah kemasukan ke ICU.
‘’Manakala 88% berkesan dalam mencegah kematian. Begitu juga 88% berkesan mengurangkan risiko jangkitan dan 86% berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala yang menjana lebih banyak kebaikan berbanding kemudaratan.
‘’Apa yang paling utama, pengambilan vaksin ini juga selari dengan ketetapan dan prinsip yang dipersetujui secara kolektif dan konsisten dari Jawatankuasa fatwa negeri- negeri di Malaysia,’’ kata teks khutbah tersebut.
Justeru jemaah dipesan agar akur dengan perintah pihak berkuasa dalam menyertai Program Vaksinasi Covid-19. Sebarkan pemahaman yang betul kepada masyarakat dengan berikhtiar melalui vaksinasi jangan sampai sudah kalah baru berkubu.
‘’Begitu juga, jauhilah perbuatan provokasi dan memanipulasi fakta di media-media sosial dengan mempertikaikan penyampaian maklumat kerajaan semata- mata untuk kepentingan agenda peribadi sehingga mempengaruhi orang lain.
‘’Jadilah warganegara yang bertanggungjawab bukan penghasut untuk kesejahteraan ummah. Sudah pasti, dengan berikhtiar pasti ada penawar di sebalik setiap penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT.
‘’Kita dituntut untuk merawat penyakit namun perlu mengambil jalan pencegahan terlebih dahulu seperti suntikan vaksin sebelum terkena wabak atau sebarang penyakit,’’ menurut khutbah itu lagi.
Leave a Reply