Oleh RAHIMI MOHAMAD
ALASAN nakhoda sebuah kapal kargo kononnya ejen mengarahkan agar bersauh di kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Penawar tidak mendapat ‘ihsan’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ekoran itu, kapal tanpa muatan yang berdaftar di Panama terbabit ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut ketika dikesan berada di perairan Johor Timur.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tersebut ditahan pada pukul 10.03 pagi.
“Kapal kargo itu dikendalikan oleh 24 kru warga China, Indonesia dan Vietnam yang berumur antara 18 hingga 58 tahun dan mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun semasa pemeriksaan dilakukan, nakhoda kapal didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
“Dia turut memberi alasan bersauh di posisi tersebut atas arahan ejen kapal, sementara menunggu arahan pelayaran selanjutnya,” katanya, hari ini.
Tambah Nurul Hizam, kapal tersebut kemudian ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Kata beliau, sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maritim Malaysia sentiasa serius dalam melaksanakan tugas bagi menjaga perairan negara daripada sebarang salah laku dan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia.
“Pemilik dan nakhoda perlu mengambil serius kesalahan bersauh tanpa kebenaran bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang,” katanya.
Leave a Reply