KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah membuat laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin dalam media sosial.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan Twitter miliknya, hari ini.
“Pihak @KKMPutrajaya telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin.
“Kami harap tindakan susulan (siasatan, pendakwaan, dll) dapat disegerakan. Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan annoying (menjengkelkan),” katanya.
Walau bagaimanapun, Khairy tidak menyatakan butiran lanjut tentang laporan polis tersebut.
Beliau menjawab ciapan pemilik akaun Twitter Dr Kin Sulong yang menggesa agar kerajaan segera mengambil tindakan terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu.
Dr Kin Sulong mahu melihat individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu diheret ke mahkamah atas kesalahan yang mereka lakukan.
Beliau turut berkongsi tangkap layar mesej Telegram yang disebarkan oleh seorang individu yang dipercayai antivaksin.
Sementara itu, dalam ciapan berasingan, Khairy berkata, sehingga semalam sejumlah 5,410 dos penggalak telah diberikan, terutamanya kepada petugas perubatan barisan hadapan.
“Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik GP (pengamal perubatan) tidak lama lagi,” jelasnya.
Kelmarin, Khairy berkata, KKM akan mula memberikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas barisan hadapan yang telah melengkapkan vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lepas.
Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, sementara kepada mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, pengumuman akan dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat vaksinasi.
Pemberian dos penggalak akan dijalankan secara sukarela dan ia percuma di bawah Program Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerimanya di Malaysia.
Leave a Reply