Oleh HERMAN HAMID

JIKA menghubungi syarikat telekomunikasi, akan ada suara memaklumkan perbualan anda dengan wakil syarikat mungkin dirakam. Dinyatakan juga tujuan kenapa dirakam.

Pemakluman itu bukanlah saja-saja dibuat bagi memanjangkan tempoh perbualan sebaliknya dilakukan bagi memenuhi prinsip undang-undang.

Ini kerana norma di seluruh dunia, merekod perbualan telefon tanpa memaklumkan individu satu lagi adalah satu pelanggaran privasi. Sebab itu, ada model telefon terkini yang akan memaklumkan secara automatik kepada pihak satu lagi bahawa perbualan akan dirakamkan.

Itu cerita perbualan antara dua individu, lain pula jika ia pintasan atau wiretapping.

Di Malaysia boleh, tetapi yang berhak melakukannya di sisi undang-undang ialah pihak berkuasa.

Rujuk Kanun Acara Jenayah di bawah Seksyen 116 C atau Akta SPRM mengenai pihak yang diberi kuasa ‘wiretapping‘. Namun yang menjadi persoalan ketika ini bagaimana mengelak perbualan antara dua individu daripada dirakam.

Tak kisahlah sama ada hal percintaan dengan kekasih gelap, suami-isteri yang sedang bergaduh, masalah tempat kerja atau antara dua pemimpin politik. Bukan sahaja rakam bahkan ada yang menularkan pula demi matlamat peribadi tanpa memikirkan kesan kepada pihak satu lagi.

Benar ada negara membenarkan jika ia bermatlamatkan kepentingan awam yang bernilai tinggi – misalnya didedahkan oleh wartawan.

Dalam arena politik Malaysia sudah menjadi-jadi pula penyebaran rakaman audio perbualan antara dua pihak.

Terkini berkisar kemelut politik Melaka. Ada tiga rakaman perbualan didedahkan.

Tiga rakaman video disebarkan yang menjadi tanda tanya iaitu perbualan antara Datuk Jailani Khamis dan Datuk Norhizam Hasan Baktee serta antara Perdana Menteri dengan Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Shamsul Iskandar Mat Akin.

Tak nampak apa kepentingan awam di situ melainkan ada yang mahu meraih laba politik sendiri menerusi penyebaran perbualan yang sepatut menjadi privasi.

Justeru apa peruntukan undang-undang Malaysia dalam hal ini, apakah satu kesalahan jenayah merakam dan menyebar perbualan tanpa kebenaran pihak satu lagi?

Sudah masanya perbuatan merakam tanpa kebenaran pihak satu lagi dijadikan satu kesalahan menerusi peruntukan undang-undang yang jelas.

Selain pencerobohan privasi, ia juga mungkin disalah guna untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Tak terkecuali boleh melibatkan hal-hal dalam perbicaraan mahkamah yang akan mengundang subjudis.

Di United Kingdom (UK) misalnya melarang keras perbuatan merakam perbualan telefon tanpa kebenaran pihak satu lagi kecuali untuk kegunaan sendiri sahaja.

Tetapi jika menyebarkannya, apatah lagi menjual pula kepada pihak ketiga, itu satu perbuatan jenayah.

Pada masa sama, pihak yang dirakam tanpa pengetahuannya itu boleh mengambil tindakan sivil bagi melindungi hak privasinya. Begitu juga amalan di sebahagian negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS). Kebebasan bukan tiket emas untuk buat apa sahaja.

Kecanggihan teknologi telekomunikasi mesti ada kawalannya. Bukan hanya soal pintasan tetapi juga rakaman dan penyebaran perbualan tanpa persetujuan.

Undang-undang utama dalam bab ini iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu lebih jelas dalam soal rakaman perbualan tanpa kebenaran. – UTUSANTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here