Perak benarkan majlis akad nikah di premis swasta

JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di premis swasta, Pejabat Agama Islam dan Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

JAIPk menerusi surat pekeliling dalam Facebook rasminya memberitahu, majlis akad nikah itu bersesuaian dengan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri ini dan berkuat kuasa mulai hari ini.

“Antara prosedur kerja majlis akad nikah itu ialah boleh dilaksanakan di tempat seperti premis swasta seperti dewan serbaguna, hotel dan rumah inap.

“Selain itu, acara sama boleh juga diadakan di Pejabat Agama Islam di seluruh Perak dan Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

“Jumlah kehadiran majlis akad nikah tidak melebihi 50 peratus kapasiti keluasan premis tersebut.

“Tempoh masa setiap majlis akad nikah tidak melebihi 1 jam 30 minit, sebarang penyediaan jamuan makan dalam majlis akad nikah tidak dibenarkan dan penyediaan makanan adalah secara bungkusan,” jelas JAIPk, hari ini.

Surat pekeliling JAIPk turut memaklumkan, pematuhan sepenuhnya semua protokol kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) harus diambil perhatian termasuk pemeriksaan suhu badan dan mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis.

Semua pihak yang terlibat dalam acara itu juga diingatkan untuk mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka sepanjang masa upacara pernikahan berlangsung dan kerap membasuh tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

Bagaimanapun, JAIPk turut meningatkan sebarang kehadiran dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), person under surveillance (PUS), individu dalam perintah kuarantin serta memiliki gejala adalah tidak dibenarkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *